Kita berasa sedih apabila terdapat sekelompok manusia yang cuba hendak
membongkar alam ghaib, mencari hantu dan sebagainya. Tidak dinafikan
rancangan sebegini memang punyai tarikan tersendiri.
Untuk apa kita mencari hantu, sedangkan kita disuruh untuk membaca
“A’uzubillahi min asy-syaithan ar-rajim” iaitu meminta perlindungan agar
dijauhkan daripada hantu dan syaitan.
Lalu mengapa ada orang yang pergi mencari syaitan? Sebagai contoh
ketika memasuki tandas atau bilik mandi Nabi mengajarkan kita agar
membaca, “Ya ALLAH, sesungguhnya aku berlindung kepada Mu dari godaan
syaitan jantan dan betina.” (riwayat al Bukhari).
Berlindunglah kepada ALLAH daripada kejahatan mereka kerana sesungguhnya tandas dan bilik mandi adalah tempat tinggal mereka.
Ada pula orang yang mencari Dajjal di Segitiga Bermuda, kononnya Dajjal ada di situ. Mengapa kita hendak mencari Dajjal?
Nabi menceritakan tentang kemunculan Dajjal pada akhir zaman, di mana
apabila disebut Dajjal telah muncul, keadaan manusia pada ketika itu
semua lari pulang ke rumah masing-masing, jaga anak isteri
masing-masing, kerana kata Nabi, wanita akan mudah dipengaruhi oleh
Dajjal.
Daripada Umar RA Rasulullah SAW bersabda maksudnya, “Ketika aku sedang
tidur, aku bermimpi melakukan thawaf di Baitullah.... “Lalu beliau
mengatakan bahawa beliau melihat Isa Ibnu Maryam alaihissalam, kemudian
melihat Dajjal dan menyebutkan ciri-cirinya dengan sabdanya: “Dia itu
seorang laki-laki yang gemuk, berkulit merah, berambut kerinting,
matanya buta sebelah, dan matanya itu seperti buah anggur yang masak’
(tak bersinar).
“Para sahabat berkata, “Dajjal ini lebih menyerupai Ibnu Qathn, seorang laki-laki dari Khuza’ah.” (riwayat al-Bukhari)
ALLAH menganugerahkan kepada Dajjal beberapa keistimewaan; seperti
boleh hidupkan orang mati dan orang-orang yang kita cintai, Dajjal
boleh menghidupkan semula dengan syarat kita beriman kepadanya.
Sebab itu Nabi minta kita jauhkan diri supaya jangan bertemu dengan
Dajjal. Dan sebab itu juga kita dituntut membaca satu doa setiap kali
dalam solat sebelum memberi salam, “Ya ALLAH, Sesungguhnya aku
berlindung kepadaMu daripada seksaan kubur, seksa neraka Jahanam, fitnah
kehidupan dan setelah mati, serta daripada kejahatan fitnah Al-Masih
Al-Dajjal.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Kita dituntut untuk memohon dijauhkan daripada empat perkara dan salah
satunya adalah fitnah Dajjal, kerana fitnah Dajjal sangatlah dahsyat.
Jadi mengapa ada orang pergi carinya. Mengapa kita pergi bongkar
tentangnya.
Ada orang mengatakan Dajjal bermata satu. Tidak, Dajjal bermata dua,
cuma dia buta sebelah mata. Di dahinya tertulis perkataan ‘kaf, fa, ra’
yang terpisah membawa erti kufur. Dajjal pendek tetapi lebar. Rambutnya
kerinting. Itu cerita Nabi tentang Dajjal, cerita tentang alam ghaib.
Sahabat Nabi menerimanya.
Rasulullah pernah bercerita tentang Dajjal kepada para sahabat, namun
tidak pula kita menemui kisah kembara para sahabat untuk mencari Dajjal.
Salah satu perkhabaran yang dibawakan oleh Rasulullah tentang Dajjal
ialah daripada riwayat Fatimah binti Qais berkisar tentang sahabat Tamim
Ad-Dari, “Ketahuilah bahawa dia berada di laut Syam atau laut Yaman. Oh
tidak, tetapi dia akan datang dari arah timur... dari arah timur...
dari arah timur...” dan beliau berisyarat dengan tangan beliau menunjuk
ke arah timur.” (riwayat Muslim)
Ini menunjukkan betapa sahabat Nabi percaya dan berpegang dengan
perkataan Nabi. Seharusnya kita mencontohi perilaku mereka dalam
berinteraksi dengan hadis-hadis Nabi, yakni dengan sentiasa membenarkan
apa sahaja yang telah sahih datang daripada Nabi dan terus mengikutinya
tanpa sebarang syak dan ragu.
Ekspedisi dan eksplorasi ke alam ghaib amat berbahaya dan dibimbangi
akan merosakkan akidah umat Islam. Hukum orang yang mengaku mengetahui
ilmu yang ghaib adalah kafir, kerana ia mendustakan ALLAH SWT. Firman
ALLAH maksudnya, “Katakanlah: “Tidak ada seorang pun di langit dan di
bumi yang mengetahui perkara ghaib kecuali ALLAH”, dan mereka tidak
mengetahui bila mereka akan dibangkitkan” (An-Naml : 65)
ALLAH memerintahkan kepada NabiNya Muhammad untuk memberitahukan kepada
manusia bahawa tidak ada seorang pun di bumi mahupun di langit yang
mengetahui ilmu ghaib kecuali ALLAH SWT. Hatta Rasulullah sendiri hanya
mengetahui sekadar apa yang ALLAH sampaikan.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar